Enam tentera maut dalam serangan pengebom nekad

ADEN: Enam anggota tentera anti-militan dibentuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) terbunuh dan sejumlah lagi diculik semalam dalam serangan pengebom nekad oleh Al Qaeda di selatan Yaman, kata pegawai tentera negara itu.

Ketika kejadian, pengebom nekad meletupkan kenderaannya bersebelahan kedudukan tentera yang baru dibina pasukan Yaman di wilayah Shabwa, kata pegawai yang tidak mahu dikenali itu kepada AFP.

Dua kenderaan milik pasukan anti-militan musnah dalam serangan itu, ramai yang tercedera manakala sebahagian yang lain diculik Al-Qaeda, katanya.

Pegawai itu berkata mangsa adalah sebahagian daripada 'unit elit' yang ditubuhkan UAE, salah satu rakan kongsi utama gabungan yang dipimpin Arab Saudi.

Gabungan itu mula campur tangan di Yaman pada 2015 untuk menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi menentang pemberontak Houthi Syiah yang dipimpin bekas presiden Ali Abdullah Saleh.

Konflik itu mengorbankan lebih daripada 8,000 orang, sebahagian besarnya orang awam dan mencederakan 44,500 sejak Arab Saudi dan sekutunya campur tangan menentang pemberontak yang dikatakan disokong musuh tradisi serantau, Iran. - AFP
Share on Google Plus

About sempoi

0 comments:

Post a Comment